Wednesday, July 2, 2014

Penglibatan Ibubapa Yang Berkualiti Dalam Pendidikan Anak-Anak


“Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abus Syaikh yang bermaksud “Moga-Moga Allah merahmati ayah yang membantu anaknya untuk mentaatinya”. Selain daripada itu, Baginda Rasulullah SAW pernah bermain dengan cucu baginda SAW yang masih kecil dengan cara merangkak atas kedua-dua tangannya dan lututnya untuk bermain dengan mereka. Seterusnya Luqman al-Hakim mengajar anaknya bukan dengan kata-kata ugutan dan kekerasan malah melalui pengalaman yang dilaminya sendiri. Perkara yang sama juga dapat dipetik dari buku Dr Stefen Corey dalam bukunya “ Tujuh Tabiat keluarga yang Sangat Berkesan (Seven Habits of Highly Effective Families). Dalam bukunya beliau menyatakan bahawa fungsi utama sebagai ibubapa ialah supaya ahli keluarganya berasa selamat tenang dan gembira. Perasaan ini akan dapat dicapai dengan memperuntukan masa dengan keluarga melalui aktiviti seperti makan bersama, berkelah, bercuti dan keluar bersama-sama. Kajian menunjukkan bahawa anak bermasalah tidak semestinya datang dari rumah yang kelihatan tidak berdisiplin, tetapi daripada ibubapa yang biasanya tidak konsisten dan mereka tidak hdup mengikut nilai dan budaya yang mereka ingin terapkan semasa mendidik anak-anak.

Maksud Penglibatan Ibubapa dalam Pendidikan Anak-Anak

Penglibatan ibubapa dalam Pendidikan anak-anak bermaksud adalah Ibu bapa mengambil inisiatif untuk melibatkan diri dalam hal perkembangan kanak-kanak, terlibat dalam memahami program yang diadakan di sekolah atau pusat-pusat asuhan dan turut terlibat dalam aktiviti yang dijalankan di pusat-pusat asuhan dan juga apabila ibubapa hadir ke majlis-masjlis yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Dalam hal ini ibu bapa akan sanggup bekerjasama dengan pihak sekolah/pusat-pusat jagaan untuk melaksanakan aktiviti yang dijalankan.
Penglibatan ibubapa juga dikatakan berlaku apabila ibubapa membantu anak-anak menyiapkan kerja sekolah, memberi sokongan dan galakan kepada anak-anak untuk belajar, menyediakan masa dan tempat belajar yang sesuai dan selesa untuk anak-anak, menunjukkan tingkahlaku yang baik pada anak-anak atau menjadi role model pada anak-anak dan sentiasa memperuntukan masa untuk anak-anak.
Seterusnya penglibatan ibubapa juga dikatakan berlaku apabila ibubapa sering berhubung dengan pihak sekolah atau pusat-pusat asuhan melalui panggilan talipon, email atau melalui urusan surat menyurat untuk mengetahui tentang perkembangan anak-anak mereka.

Rumusannya,penglibatan ibubapa dalam pendidikan anak-anak dikatakan berlaku samada apabila ibubapa hadir dan terlibat secara langsung dengan sekolah/pusat pusat asuhan atau semasa ibubapa berada di rumah.

Kepentingan Penglibatan Ibubapa Dalam Pendidikan Kanak-Kanak

Terdapat banyak kajian-kajian yang telah dijalankan tentang kepentingan penglibatan ibubapa dalam pendidikan anak-anak. Kajian yang dijalankan oleh Epstein (2002), mendapati penglibatan ibubapa yang aktif serta berkualiti dalam pendidikan anak-anak akan memberi manfaat kepada 3 pihak iaitu pihak anak itu sendri, pihak ibubapa dan pihak sekolah/pusat-pusat asuhan.

Manfaat pada anak-anak
Dapat mengimbangi masa untuk melakukan kerja sekolah dan lain-lain aktiviti
Menghormati diri sendiri, ibubapa dan ahli keluarga
Kesedaran tentang ilmu
Bertingkahlaku positif
Bertanggungjawab
Konsep kendiri yang tinggi
Pencapaian akademik yang lebih baik dan jarang ponteng sekolah

Manfaat pada Keluarga/ibubapa
Memahami perkembangan dan pertumbuhan anak-anak
Menyokong pembelajaran anak-anak
Memahami tanggungjawab dan peranan guru
Boleh bertukar-tukar maklumat tentang anak-anak dengan guru terutamanya berhubung dengan pencapaian anak-anak
Sentiasa peka dengan kesihatan dan keselamatan anak-anak

Manfaat pada guru
Memahami hasrat atau harapan ibubapa terhadap anak-anak mereka
Menghormati kemahuan, minat dan kekuatan ibubapa
Sentiasa peka dengan perkembangan kanak-kanak supaya boleh berkongsi dengan ibuapa
Meningkatkan kehadiran pelajar ke kesekolah/pusat asuhan

Kajian-kajian lepas juga menunjukkan bahawa penglibatan ibu bapa sangat penting dalam pencapaian akademik seseorang anak (Yan dan Lin,2005). Seterusnya, (Ogbu, 1994; Yan dan Lin 2005) menjelaskan bahawa rumusan keseluruhan kajian-kajian lepas mendapati bahawa penglibatan ibu bapa dalam sekolah, semasa di rumah dan komuniti sangat ketara mempengaruhi pencapaian akademik anak-anak di sekolah, membantu anak-anak membina kesihatan mental yang sihat dan lebih aktif berbanding pelajar yang ibu bapa tidak melibatkan diri di sekolah. Seterusnya Ogbu (1994) mengatakan bahawa tahap motivasi ibu bapa, sikap, sokongan dan komitmen mereka mempengaruhi kanak-kanak untuk berpencapaian baik di sekolah.

Di samping itu, Eccles dan Harold (1996) mendapati ibu bapa yang melibatkan diri dalam program penglibatan ibu bapa yang dianjurkan oleh pihak sekolah turut memperolehi pengalaman bermakna, meningkatkan kemahiran keibubapaan, kemahiran sosial dan mendapat kemahiran baru apabila menghadapi cabaran semasa proses pembesaran anak-anak mereka. Ini diperolehi melalui ibu bapa yang hadir dalam program yang berstruktur dan di susun oleh pihak sekolah. Seterusnya kajian juga menunjukkan perkembangan dan prestasi pembelajaran anak-anak adalah lebih baik apabila ibu bapa mereka terlibat secara aktif dan berterusan dalam pendidikan mereka sejak awal lagi. Penglibatan aktif dan sokongan ibu bapa di peringkat ini akan dapat meningkatkan potensi pembelajaran anak-anak melalui penerusan kaedah pembelajaran tersebut di rumah. Asuhan dan didikan yang serupa di pusat dan di rumah akan membantu kesinambungan proses pembelajaran dan mengelakkan kekeliruan di kalangan anak-anak. Di samping itu ia juga dapat menjalinkan perhubungan yang rapat di antara ibu bapa dan tenaga pendidik, juga bagi membolehkan pendidik mengenali serta memahami anak-anak dengan lebih mendalam.

Kenapa Ibubapa tidak Mahu terlibat dengan pihak Sekolah/Pusat-Pusat Asuhan

1.Ibu bapa mungkin tidak dapat melihat keperluan kepada penglibatan mereka di pusat-pusat pendidikan
2.Menganggap pusat awal kanak-kanak sebagai tempat untuk meletak anak-anak mereka untuk dijaga semasa mereka kreluar bekerja mencari nafkah.
3.Tidak atau kurang memahami fungsi serta peranan pusat pendidikan kanak-kanak dalam mempertingkatkan perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak
4.Tiada masa/sibuk
5.Tiada pengetahuan
6.Mempunyai perasaan rendah diri dan tidak tahu apa yang boleh dilakukan

Bagaimana ibubapa boleh melibatkan diri dengan Pihak sekolah/pusat-pusat Asuhan dalam pendidikan Awal Anak-Anak

1.Menjadi ahli bagi persatuan atau program-program keibubapaan yang dianjurkan oleh pihak sekolah/pusat-pusat asuhan
2.Menawarkan diri secara sukarela dalam aktivti yang dijalankan oleh pihak sekolah/pusat-pusat asuhan
3.Hadir ke majlis majlis yang dianjurkan oleh pihak sekolah/pusat-pusat asuhan
4.Hadir kemesyuarat ibubapa yang dianjurkan oleh pihak sekolah/pusat-pusat asuhan
5.Sentiasa berhubung dengan guru samada secara bersemuka atau melalui talipon bagi mengetahui perkembangan anak.
6.Mengambil berat dan membaca segala memo yang dihantar oleh pihak sekolah/pusat-pusat asuhan
7.Hadir ke bengkel yang dianjurkan oleh pihak sekolah/pusat-pusat asuhan
8.Bekerjasama dan sentiasa berbincang dengan pihak sekolah bagi memastikan kejayaan akademik anak-anak




Dr Mahani
UPSI 

0 comments:

Post a Comment