Salam ramadan di pagi ahad. Moga Keberkatan dan kerahmatan terus memihak kepada kita. Siapa kita tanpa RahmatNya. Moga Allah mengurniakan kesihatan kepada kita agar kita dapat terus meraih dan merebut peluang beribadat di bulan yang mulia ini.
Bila bercakap tentang kesihatan, kita juga kena pandai memilih makanan terutamanya untuk berbuka dan bersahur. Kesihatan badan kita bergantung kepada produk makanan yang dimasukkan kedalam tubuh badan kita! Ambillah produk yang berkualiti supaya tubuh badan kita juga berkualiti. Sama seperti tubuh kita sebenarnya, akal kita juga adalah produk bagi perkara yang kita masukkan ke dalamnya. Berbeza dengan makanan pada tubuh, makanan akal tidak boleh dibeli di mana mana kedai tetapi makanan bagi minda adalah persekitaran yang mempengaruhinya. Jadi persekitaran keliling kita amat mempengaruhi cara berfikir kita, matlamat, sikap dan juga personaliti kita. Contoh, persekitaran yang negatif atau interaksi yang berpanjangan dengan orang keliling yang berfikiran negatif akan menyebabkan pemikiran kita juga berubah menjadi negatif. Sebaliknya interaksi yang berpanjangan dengan orang yang berjaya dan mempunyai pemikiran yang positif akan dapat membantu kita berfikiran positif dan meningkatkan tahap pemikiran kita. Jagalah persekitaran kita, kawan kawan kita dan dengan siapa kita selalu berhubung dan berinteraksi. Jadilah orang yang tidak membenarkan sikap pesimis mengusai hidup kita dan tidak menyerah kalah kepada unsur unsur negatif. Jadilah juga orang yang enggan mengharungi hidup hanya dengan sekadar "cukup makan" dan jadikan diri kita sebati dengan konsep kejayaan. Bagi mencapai sikap di atas, maka kita perlu sentiasa memerangi segala elemen negatif yang berpunca daripada persekitaran kita. Jangan biarkan individu yang negatif meracuni pemikiran kita dan menghalang kita dari mencapai cita cita dan hasrat serta impian dan dari terus memiliki minda orang yang berjaya.
Bentuklah persekitaran kita dengan beberapa panduan berikut: Sekali sekala bercampurlah dengan orang yang berbeza. Bila kita membataskan pergaulan kita kepada kelompok yang sama sepanjang masa, kita akan jadi bosan. Kejayaan sangat bergantung kepada kebolehan kita memahami orang lain. Tidak ada cabarannya kalau kita hanya berani bersekongkol dengan kelompok yang sama. Carilah kelainan idea melalui berkawan dnegan orang yang berbeza. Dalam dunia yang moden ini, orang yang berpandangan sempit tidak mempunyai masa depan yang cerah. Jangan jadi jaguh hanya dalam Institusi kita atau organisasi kita sahaja.
Berkawanlah dengan orang berminda dan bercita cita besar. Orang yang berminda besar adalah orang yang seronok melihat orang lain berjaya dan sentiasa memberi sokongan dan bantuan supaya orang lain juga berjaya. Dapatkan nasihat dari orang orang yang berminda besar dan sudah berjaya ini. Pastikan jiwa kita sentiasa segar bugar dengan kata kata mereka.
Elakkan diri orang yang suka bergosip kerana gosip merupakan racun minda yang utama. Racun ini bergerak secara halus tetapi kesannya cukup besar. Kita boleh bercakap mengenai orang lain tetapi tumpukan kepada aspek aspek positif sahaja. Fikirkan mengenai orang lain dengan cara yang betul. Bila kita berfikir secara betul mengenai orang lain, kita akan dapati bahawa setiap orang mempunyai banyak ciri ciri yang mengkagumkan. Jangan benarkan sesiapa pun menanamkan benih prejudis ke dalam minda kita mengenai orang lain. Dengan berfikir secara positif mengenai orang lain, kita juga akan memperolehi hasil yang positif.
Gunalah perkataan dan pernyataan yang besar, positif dan riang setiap hari bagi menggambarkan emosi kita. Luahkan perasaan gembira kita setiap kesempatan. Jadilah individu yang dikenali kerana aura gembira dan bersemangat besar. Bila kita jadi individu seperti ini, inshaalah ramai orang ingin berkawan dengan kita. Jadilah magnet diri yang positif. Bila magnet diri kita positif, kita juga akan jadi magnet rezeki. Berdoalah di setiap kesempatan moga allah sentiasa membantu segala usaha usaha penambahbaikan diri kita demi kejayaan hidup di dunia dan lebih lebih lagi di akhirat sana.
Salam Positif
Dr Mahani Razali
Perpustakaan Tunku Bainun, UPSI
0 comments:
Post a Comment